Monday, 25 April 2011

adab hamalatul quran


Imam An-Nawawi menukilkan daripada Al-Harith Al-Muhasibi katanya: “Orang yang benar ialah orang yang tidak memperdulikan segala sanjungan yang diberikan oleh manusia kerana dia lebih mementingkan keelokan hatinya. Dia tidak suka amalan kebaikannya dilihat orang walaupun sedikit. Dia juga tidak benci jika amalan buruknya diketahui orang. Ini kerana jika dia tidak suka amalan buruknya diketahui orang, maka ini menunjukkan bahawa dia suka untuk mendapat sanjungan manusia, sedangkan ini bukanlah akhlak orang-orang yang benar”. Penulis membawakan kata-kata ini untuk menasihati diri penulisan terutamanya juga para Hamlatul Quran supaya janganlah terdapat rasa untuk menjadikan Al-Quran sebagai batu loncatan kepada pangkat atau sanjungan manusia ditakuti Al-Quran menjadi hujah ke atas kita.

Daripada pembacaan penulis, Imam An-Nawawi yang dikenali dengan panggilan ‘Orang Kanan Mazhab Syafie’ menyelitkan karya beliau dengan hukum-hukum Feqah yang melingkari seorang Hamlatul Quran. Sedikit penulis bawakan dalil-dalil yang menjadi panduan.

خيركم من تعلم القرآن وعلمه
“Sebaik-baik kamu ialah sesiapa yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya”

“Orang-orang yang membaca Al-Quran sedangkan dia mahir, maka dia akan bersama dengan malaikat safarah yang menghitung amalan kebaikan lagi yang berbuat kebajikan. Manakala sesiapa yang membaca Al-Quran di dalam keadaan tergagap-gagap dan sukar, maka dia akan memperolehi dua ganjaran”

Penulis katakan, hadith di atas sebagai ucapan Rasulallah s.a.w yang memberi semangat kepada pelajar Al-Quran, pengajar Al-Quran, pembaca Al-Quran yang lancar bacaan dan pembaca Al-Quran yang tidak lancar bacaan supaya beristiqamah bersama Al-Quran kerana terdapat ganjaran sekalipun pembaca Al-Quran itu tidak lancar. Malah Rasulallah s.a.w dalam hadith yang diriwayatkan oleh Muaz menjanjikan mahkota pada hari kiamat kepada ibu bapa yang anaknya membaca Al-Quran dan beramal dengannya. Maka penulis bertanya, hal apakah yang lebih besar daripada janji Allah dan rasulNya?

Kelebihan Di Dunia

"يؤم القوم أقرؤهم لكتاب الله"
“Orang-orang Islam hendaklah diimamkan oleh orang yang paling banyak membaca Al-Quran” (Riwayat Muslim)

Perkara yang sama apabila Rasulallah s.a.w mendahulukan ke liang lahad lelaki yang lebih banyak menghafaz Al-Quran di dalam Peperangan Uhud (Riwayat Bukhari). Ucapan Rasulallah s.a.w seakan-akan diletakkan di belakang pada zaman sekarang di sesetengah tempat. Entah bagaimana ‘orang-orang pejabat agama’ melantik imam. Pernah penulis menjadi makmum di sebuah masjid di Negeri Sembilan dan imam mudanya acapkali membaca ayat-ayat hafazan yang ganjil. Makmum yang Hamlatul Quran boleh memaafkan jika kali pertama imam tersalah. Apabila sudah menjadi kebiasaan imam mempraktikkan kesalahan, penulis lantas menulis surat dengan luahan yang lembut. Segala puji untuk Allah, imam muda itu sudah tidak mempraktikkan kesalahan.

Lagi, terdapat segelintir masyarakat hanya beranggapan para Hamlatul Quran hanya layak menjadi imam di dalam solat dan juga aktiviti-aktiviti agama yang lain, tidak layak di dalam pentadbiran hal dunia, maka diserahkan kepada orang-orang yang ‘Inggeris’ fikirannya. Penulis berkata, anggapan seperti ini adalah anggapan yang salah. Terdapat pengaruh sekularisma pada anggapan seperti ini. Penulis membawakan kata-kata Ibn Abbas: “Para Hamlatul Quran yang menjadi ahli-ahli mesyuarat Umar r.a terdiri daripada orang tua dan orang muda” (Riwayat Bukhari). Umar r.a, sahabat yang benar sifat lidahnya bermesyuarat dengan para Hamlatul Quran. Apakah masih kita tidak sedari?

Penulis yang pernah hidup di dalam masyarakat kampus juga melihat hal ini. Para Hamlatul Quran hanya selayaknya menjadi ‘Exco Dakwah Tarbiyah’ yang tidak memegang dasar persatuan, yang masih di bawah pengawasan seorang yang mentarbiyah dengan berniaga dan usrah isu semasa pada Semester 2. Hanya kerana seseorang itu memakai kopiah putih. Penulis bersumpah dengan nama Allah bahawa penulis jadikan ia pengajaran dibawa dan diamalkan.

Beberapa disiplin dan adab hidup para Hamlatul Quran

1. Hamlatul Quran tidak boleh kelihatan lemah, menjadi beban kepada orang lain dan kusut masai pakaiannya. Rasulallah s.a.w yang bersifat dengan sifar kerasulan dan sifat pemerintah negara, selalu mendampingi manusia lain, tidak mungkin kusut masai pakaian baginda. Sungguh aneh manusia yang menisbahkan pakaian kusut masai kepada Rasulallah. Diriwayatkan daripada Umar r.a katanya: “Wahai para penuntut Al-Quran! Angkatlah kepalamu, jalan terbentang luas di hadapanmu, berlumba-lumbalah ke arah kebaikan dan jangan kamu menjadi bebanan kepada manusia”. Firman Allah yang bermaksud;

“Dan Allah membuat (pula) perumpamaan: dua orang lelaki yang seorang bisu, tidak dapat berbuat sesuatu pun dan dia menjadi beban atas penanggungnya, ke mana saja dia disuruh oleh penanggungnya itu, dia tidak dapat mendatangkan suatu kebajikan pun. Samakah orang itu dengan orang yang menyuruh berbuat keadilan, dan dia berada pula di atas jalan yang lurus?” (Surah An-Nahl: 76)

2. Ikhlas, tidak menjadikan Al-Quran sebagai jambatan habuan dunia (daripada Abu Hurairah), tidak berdebat dengan golongan yang bodoh, dan tidak berniat mengalahkan ulamak (Riwayat Tarmizi daripada Ka’ab bin Malik)

3. Membaca diutamakan pada waktu sepertiga malam (daripada Abdullah ibn Mas’ud), di waktu pagi (Doa nabi s.a.w kepada umat baginda: “اللهم بارك لأمتي في بكورها”), dan di waktu diantara maghrib dan isyak. Kata Fudhail Iyadh: “Para Hamlatul Quran adalah bendera Islam. Tidak sepatutnya mereka bersama orang-orang yang bermain dan orang-orang yang lalai. Tidak sepatutnya mereka melakukan perbuatan yang sia-sia bersama-sama orang yang melakukan perbuatan sia-sia”

4. Menjaga Al-Quran dan tidak melupakannya kerana Al-Quran lebih ‘liar’ daripada unta yang diikat (Riwayat Bukhari dan Muslim).
5
. Bersugi, suci daripada hadath, tempat yang bersih dan terpilih, menghadap kiblat, membaca isti’azah, membaca basmalah, bacaan secara tartil, mengulang-ulang untuk tadabur dan menangis, mengangkat dan mengelokkan suara ketika bacaan, berdoa apabila membaca ayat janji-janji Allah dan ayat azab-azab Allah, memperlahankan bacaan apabila membaca ayat-ayat yang mensifatkan Allah dengan sifat yang mustahil bagiNya (Allah mempunyai anak/tangan Allah terbelenggu: Maha Suci Allah daripada sifat-sifat yang mustahil bagiNya), sujud tilawah pada tempat-tempatnya, meriwayatkan tafsir daripada ulamak-ulamak tafsir, dan berkata: “Aku dilupakan Allah ayat sekian dan sekian” (Riwayat Bukhari).
6. 
Amalan para Hamlatul Quran (Setiap amalan di bawah yang dibawa oleh Imam An-Nawawi terdapat hadith masing-masing):

Surah-Surah
Waktu
Surah Sajadah dan Surah Al-Insan
Solat Subuh Hari Jumaat
Surah Jumuah / Surah Al-A’la dan Surah Al-Ghasiyah
Solat Jumaat.
Surah Qaf dan Al-Qamar / Surah Al-A’la dan Surah Ghasiyah
Solat Sunat Hari Raya
Surah Al-Kafirun dan Surah Al-Ikhlas
Solat Sunat Maghrib
Surah Al-A’la, Surah Al-Kafirun, dan Surah Al-Ikhlas, Surah Al-Falaq, dan Surah An-Nas
Solat Sunat Witir
Surah Al-Kahfi / Surah Hud / Surah Ali-Imran
Hari Jumaat
Ayat Kursi dan akhir Surah Al-Baqarah
Setiap Tempat dan Tempat Tidur
Ayat Kursi dan ‘3 Qul’
Selesai Solat dan Sebelum Tidur
Surah Az-Zumar dan Surah Al-Isra’
Sebelum Tidur
Ayat 190 Surah Ali-Imran
Terjaga daripada Tidur di tengah malam
Surah Al-Fatihah dan ‘3 Qul’
Sisi Pesakit
Surah Yasin
Sisi Jenazah
Surah Al-Mulk dan Surah Al-Waqiah
Selalu meluangkan masa untuk membaca

Doa yang baik untuk dijadikan amalan:

"ربنا هب لنا من أزواجنا وزريتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين اماما"

Moga bersama kita dikurniakan isteri dan anak-anak yang soleh dan solehah sebagai penyejuk mata dan dijadikan kita pemimpin orang-orang beriman di dalam kebaikan. Yang menyejukkan mata dan hati dengan Al-Quran.

Ditulis pada hari ini adalah hanya sedikit daripada mutiara-mutiara ilmu yang disampaikan oleh Imam An-Nawawi. Penulis mengakhiri dengan membawa kata-kata Ibrahim Al-Khawwas. Kata Ibrahim Al-Khawwas: “Ubat hati ialah lima perkara; (1) Membaca Al-Quran dengan tadabbur. (2) Perut yang kosong-puasa. (3) Qiyamullail. (4) Berdoa pada waktu sahur. (5) Duduk bersama para solihin.

Kemaafan dipohon. Teguran membina dialu-alukan.

السلام عليكم ورحمة الله تعالى وبركاته

Tajuk : Adab-Adab Bersama Al-Quran
Penulis : Imam An-Nawawi
Penterjemah : Ustaz Haji Anwar Fakhri Haji Omar (Tutor, Fakulti Pengajian Islam,UKM)
Penerbit : Pustaka Salam SDN. BHD.
Tahun : 1997
Bil. m/s : 172

No comments:

Post a Comment